BAB 1
Berderai bunga cinta menitis airmata
Sayu dan pilu berkocak dikalbu
Terhempas hati ini berkecai harapan
Musnahlah mimpi indah hancurlah perasaan
Tiada... tiada lagi tempatku bermanja
Tidakkah kau membayangkan betapa hancurnya hatiku
Tidakkah kau merasakan betapa aku sengsara
Cintaku hanyut dilautan sepi...
Oh mengapa... mengapa sampainya hatimu menyeksaku..
Betapa setianya cintaku terhadapmu
Sayangnya kau mungkiri
Segala janji terhadap diriku ini
Yang selalu merinduimu...
"Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi" nyanyian Ramlah Ram menghanyutkan Ika untuk seketika. Bunyi deringan loceng menandakan waktu rehat menyentaknya dari lamunan. Dengan pantas Ika meleret jemarinya menahan butiran mutiara jernih dari terus mengalir ke pipi. Sekali lagi Ika tersentak bila terasa bahunya ditepuk perlahan dari belakang. Ika menoleh.
"Dah la Ika. Jangan dilayan sangat perasaan duka tu" tegur Aziah sambil menarik kerusi berdekatan dan duduk menghampiri Ika.
"Ika dah cuba Kak Zie. Bukan mudah untuk Ika lupakan dia. Ika masih tak boleh terima kenapa dia buat Ika macam ni" Ika merintih perlahan. Hatinya terasa amat luka. Sedaya mungkin Ika cuba menahan air matanya dari terus gugur.
"Kak Zie tau pedih luka yg Ika tanggung tu. Tapi Ika tak boleh berterusan macam ni. Ika tak boleh biarkan diri berterusan terperangkap dalam rasa hampa. Perasaan tu akan buat Ika jadi lebih sengsara." Sambil merenung wajah Ika yang suram, Aziah menggenggam tangan Ika. Aziah cuba memberi sedikit kekuatan buat Ika.
Mendengar kata-kata Aziah membuat Ika semakin terharu. Mudah sahaja air matanya gugur laju. Tanpa dipaksa, Ika menangis tersedu.
"Dah la. Kesat air mata tu. Ika perbanyakkan baca Al Fatihah. Semoga ada kekuatan yang diberi oleh Allah." ujar Aziah sambil mengusap belakang Ika dengan penuh kelembutan.
Pantas sahaja masa berlalu. Sekali lagi loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat. Ika segera bersiap pergi ke kelas untuk meneruskan tugasnya. Walau ada badai derita yang melanda, tugas dan tanggungjwab perlu dilaksanakan juga.
Hari-hari yang berlalu semakin suram. Ika menjadi semakin murung dan muram. Kekecewaannya kali ini bagaikan sembilu yang menikam di lubuk hati yang amat dalam. Segala impiannya hancur bagai serakan kaca yang jatuh berderai. 2 tahun dia mengukir harapan indah bersama Sharizal. Seorang insan yang berjaya bertamu istimewa di hatinya. Yang menjadi bintang yang bersinar gemerlap menerangi malam dan siangnya.
Ika masih tidak mampu melenyapkan segala kenangannya bersama Sharizal. Mana mungkin segala kenangan yang terpahat selama 2 tahun itu dikikis dalam waktu yang singkat. Bukan sedikit kenangan yang terukir. Dan bukan mudah untuk Ika meneruskan langkah tanpa insan tempatnya bermanja. Insan yang dikasihi sepenuh jiwa. Yang dirindu setiap ketika. Saat-saat yang dilalui membuat Ika derita.
Aziah, teman serumah Ika turut resah melihat perubahan Ika. Mereka tinggal serumah sudah lebih 3 tahun. Sejak mula Ika berpindah ke sekolah tempat Aziah mengajar, sejak itulah mereka tinggal bersama. Ika yang Aziah kenali selama ini seorang yang sangat lincah dan periang. Mulutnya ramah dan ada sahaja bicaranya yang membuatkan orang lain ceria. Ika kecil molek dan berwajah cantik. Dia pandai mengambil hati siapa sahaja. Tidak hairanlah ramai yang mudah terpikat dengan Ika. Tapi Ika tidak ubah seperti burung merpati. Nampak jinak tapi akan lari bila didekati. Sehinggalah Ika ditemukan dengan Sharizal. Satu-satunya pemuda yang berjaya menawan hati Ika. Tapi sayang, cinta Ika dan Sharizal tidak kesampaian.
Malam itu, sesudah selesai menikmati juadah makan malam yang serba ringkas, Ika segera mengangkat pinggan untuk dibawa ke singki tetapi segera ditahan oleh Aziah.
"Ika, nanti dulu. Dok sat. Ada sesuatu yg kak Zie nak bincangkan" ujar Aziah. .
"Ada apa Kak Zie?" soal Ika pantas dengan dahi yang berkerut.
"Kak Zie tak sanggup nak tengok Ika berterusan macam ni. Sampai bila Ika nak terus siksa diri macam ni? Kak Zie rasa macam ni la. Minggu depan kita cuti pertengahan semester 2 minggu. Ika ikut Kak Zie balik ke Pulau Pinang. Nanti Kak Zie minta mak ikhtiarkan sesuatu untuk pulihkan semula semangat Ika tu."
"Tapi.. " Ika terkedu mendengar kata-kata Aziah. Kata-kata yang tidak memberinya peluang untuk membuat pilihan.
"Dah.. dah.. jangan bagi apa-apa alasan. Kak Zie rasa itu saja jalan terbaik yang Ika ada" Pantas Aziah memintas kata-kata Ika. Ika hanya terdiam. Mungkin betul kata Aziah, itulah jalan terbaik yang ada baginya untuk melupakan segalanya. Ika sendiri sudah tidak sanggup menggenggam duka. Cuma dia rasa tidak berdaya mengikis Sharizal dari ingatannya. Semakin dia cuba membenci, ternyata semakin dia merindui Sharizal. Semua ini membuat Ika bertambah sengsara.
No comments:
Post a Comment